Rakyat

 

Kerajaan berusaha untuk mewujudkan budaya penyayang dalam kalangan masyarakat di negara kita supaya diiktiraf sebagai negara maju sebaris dengan Jepun, Singapura dan Amerika Syarikat seperti peribahasa duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Hal ini berpunca daripada pengabaian warga tua, masalah sosial yang kian bernanah, penganiayaan kanak- kanak dan sikap kurang hormat akan orang kelainan upaya. Contohnya, kes seorang anak lelaki yang meninggalkan ibunya di hotel kononnya bekerja telah mendapat liputan yang meluas daripada media massa arus perdana. Tidak dilupakan, alam sekitar juga turut menjadi mangsa kerakusan manusia yang membakar hutan, menggondolkan lereng bukit dan membuang sampah ke dalam sungai. Lebih malang lagi, nilai kemanusiaan semakin terhakis dalam sanubari masyarakat apabila terdapat kes penyeksaan haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing. Persoalannya, apakah cara-cara mewujudkan masyarakat penyayang dalam kalangan masyarakat di negara ini?


Cara paling utama untuk membudayakan masyarakat penyayang ialah masyarakat perlulah membantu orang yang memerlukan bantuan. Dengan perkataan lain, masyarakat seharusnya lebih bersikap ringan tulang apabila terdapat insan yang memerlukan khidmat mereka. Sebagai contoh, masyarakat perlulah membantu warga emas yang membawa barangan berat seperti beg plastik yang berisi barangan dapur sesuai dengan slogan yang tua dihormati, yang muda disayangi. Sekiranya bertemu dengan orang buta di tepi jalan, masyarakat sewajarnya memimpin tangan mereka untuk melintas jalan raya. Andai kata mendengar berita jiran ditimpa malapetaka yang tidak diundang, masyarakat perlu menghulurkan wang dan kudrat kerana berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya. Kesannya, tindakan yang mulia ini dapat mengurangkan beban yang ditanggung oleh mereka. Masyarakat juga dapat menguatkan ikatan silaturahim yang kian longgar akibat sikap mementingkan diri sendiri seperti peribahasa enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Pendek kata, masyarakat perlulah membantu orang yang memerlukan bantuan untuk memupuk budaya masyarakat penyayang.


Di samping itu, masyarakat hendaklah menjaga haiwan dengan kasih sayang untuk memupuk masyarakat penyayang. Jika dilihat dari sudut Islam, peristiwa Nabi Muhammad SAW yang memotong sejadah kerana tidak mahu mengganggunya tidur memerlukan kita mengikut suri teladan yang dipamerkan oleh baginda. Sebagai misalan, masyarakat janganlah menzalimi haiwan seperti memukulnya mahupun menyeksanya. Sebaliknya, masyarakat disarankan mengasihi haiwan dengan memeliharanya dan memberikannya makan kerana tindakan itu juga dihitung sebagai sedekah.Hakikatnya, masyarakat digalakkan untuk membela haiwan seperti kucing, terutamanya kucing terbiar dengan memberikannya tempat perlindungan dan penjagaan khusus. Impaknya, masyarakat dapat mengurangkan tekanan perasaan dan penyakit kronik kerana banyak kajian yang dilakukan telah membuktikannya. Selain itu, pemeliharaan haiwan juga dapat mengelakkan kebosanan kerana haiwan ini boleh menjadi penghibur. Tambahan pula, haiwan seperti anjing juga dapat menjamin keselamatan rumah dan pemiliknya.


Seterusnya, masyarakat yang penyayang dapat dibuktikan dengan tindakan mereka memelihara kebersihan alam sekitar. Dewasa ini, pembangunan yang pesat telah menyebabkan alam sekitar terpaksa menjadi mangsa kerakusan dan sikap masyarakat yang mementingkan diri, umpama enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Oleh itu, masyarakat janganlah membuang sampah sarap merata-rata kerana tindakan ini akan mengundang pencemaran bau dan penyakit sebaliknya mengamalkan kitar semula yang berslogankan ‘Fikir Dahulu Sebelum Buang’.Masyarakat juga hendaklah mengelakkan pembakaran terbuka dan pembakaran hutan. Suka saya mengambil contoh yang lain, masyarakat sewajarnya menyertai Kempen Cintai Alam Sekitar dengan menanam pokok dan membersihkan sungai atau pantai. Implikasinya, masyarakat dapat menjamin kesihatan kerana menghindari penyakit asma, kanser dan demam denggi. Dari sudut yang berbeza, masyarakat dapat mengekalkan ekosistem seterusnya membantu bumi daripada kesan rumah hijau.


Kesimpulannya, terdapat seribu satu cara untuk mewujudkan masyarakat yang penyayang sesama manusia, kepada haiwan atau alam sekitar. Sehubungan dengan itu, semua pihak haruslah bersatu hati dan menggerakkan langkah sederap seperti peribahasa ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni dalam menjayakan impian kudus ini. Oleh hal yang demikian, media massa perlu mengwara-warakan kepentingan melahirkan masyarakat yang penyayang secara efektif dan menyeluruh. Guru pula tidak harus ketinggalan dengan mengajar murid-murid melalui pengajaran formal atau tidak formal di sekolah.



Dalam pada itu, usaha yang paling mustahak ialah ibu bapa seharusnya mendidik anak-anak dengan nilai kasih sayang sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sesungguhnya, kita tidak mahu rakyat Malaysia hanya kaya dengan material tetapi miskin dengan nilai dan moral. Akhir kata, tepuk tanya tanya selera kerana tanpa kesedaran dalam diri, segala usaha yang direncanakan akan menjadi angan-angan Mat Jenin.

Comments