Keluarga

 


Untuk melahirkan masyarakat yang penyayang dan prihatin terhadap kehidupan adalah bermula daripada keluarga dan meluas ke dalam masyarakat. Islam telah memberikan pelbagai asas panduan. Antaranya membentuk satu cara hidup keluarga yang mempunyai sifat kasih sayang dan belas kasihan iaitu mawaddah dan rahmah.


Adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa sebagai peneraju keluarga mendidik anak-anak mereka dengan menyemai sifat belas kasihan dan kasih sayang. Sebaik-baik teladan dalam rumah tangga adalah ibu bapa dan di sekolah adalah guru yang mendidik setiap hari. Merekalah sebenarnya membentuk acuan selain daripada rakan sejawat dan suasana sekeliling.


Adakala berlaku juga keadaan anak-anak yang dahaga kasih sayang daripada ibu bapa. Terdapat sikap di kalangan penjaga yang memberikan kemewahan material bagi menggantikan kasih sayang. Anak mereka diberikan kemudahan dengan menunaikan semua kehendak mereka seperti yang digambarkan dalam filem Anakku Sazali. Natijahnya boleh merosakkan masa depan mereka sendiri dan penyesalan.


Kealpaan ketua keluarga, kerana kesibukan urusan bisnes serta mengejar kejayaan dunia semata-mata boleh menyebabkan tanggungjawab terhadap keluarga diabaikan. Sememangnya manusia itu diberikan perasaan dan nafsu cinta kepada harta kekayaan. Harta itu janganlah menjadi penguasa ke atas kehidupan, sebaliknya kita perlu menguasainya dengan penuh amanah dan tanggungjawab.


Dalam surah ar-Rum ayat 21 Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:


Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.


Dalam pada itu ada juga segolongan ketua keluarga mengutamakan kepentingan ukhrawi semata-mata yang akibatnya tidak memikirkan realiti masa depan yang penuh cabaran untuk anak-anak mereka. Mereka perlu dibekalkan dengan dua pengisian iaitu ukhrawi dan duniawi secara seimbang dan sepadu.


Kita juga tidak mahu melahirkan generasi yang luntur rohani dan keimanan sehingga mengabaikan tuntutan agama, dengan beranggapan tuntutan Islam hanya setakat keimanan, sehinggakan amalan yang menjadi tiang kepada agama seperti sembahyang diabaikan.


Ini telah kita saksikan berlaku di kalangan sesetengah remaja dan belia. Mereka ini sebenarnya telah mempelajari agama di sekolah tetapi mungkin suasana rumah tangga tidak membantu mereka melakukannya.


Rasulullah s.a.w. bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud:


Bukanlah dari golongan yang terbaik, orang yang meninggalkan dunia untuk akhirat, atau meninggalkan akhirat untuk dunia, akan tetapi yang terbaik adalah orang yang mengambil ini (dunia) dan ini (akhirat).


Sebenarnya orang Islam diberikan dorongan supaya berusaha untuk kejayaan kehidupan di dunia dan di akhirat. Ada nilai-nilai yang perlu dipatuhi dalam mencari kejayaan kehidupan di dunia. Iaitu dengan menjaga hubungan sesama manusia. Kita juga berkewajipan menjaga hubungan dengan Allah dalam melaksanakan tuntutan dan menjauhi larangannya.


Bagaimanapun hari ini hubungan kemasyarakatan tidak lagi menurut lunas-lunas akhlak yang murni, akan tetapi lebih dibelenggu oleh nafsu dan emosi. Kita boleh melihat luaran dan keterampilan seseorang itu yang mengagumkan dan terpesona. Bagaimanapun, dalam pada itu terselit juga jiwa yang amarah, di luar kawalan nilai yang murni. Orang Islam diberi peringatan supaya menjaga tangan dan lidah. Larangan ini telah diabaikan. Orang Islam ada yang lebih suka mengeluarkan fitnah dan memilih untuk bermusuhan sesama Islam. Sedangkan kedua-duanya dilarang oleh Islam.


Kecenderungan yang berlaku dalam masyarakat adalah menyuruh orang melakukan kebaikan akan tetapi tidak mampu mengingatkan diri daripada melakukan kemungkaran. Apabila ada sesuatu yang difikirkan patut diberi teguran, cara dan bahasa yang digunakan sama sekali tidak mencerminkan akhlak Muslim dengan memilih pendekatan negatif untuk menyentuh perasaan dan peribadi seseorang.

Comments