Kejiranan

 


Dewasa ini, semangat kejiranan semakin hari semakin tidak diberi perhatian oleh masyarakat. Fenomena yang seperti duri dalam daging ini akan menganggu pembentukan dan perkembangan masyarakat penyayang jika diabaikan. Dalam perkara ini, sifat sayang-menyayang adalah salah satu sifat positif yang perlu ada dalam setiap individu. Nilai ini penting bagi melahirkan individu yang berperikemanusiaan dan seterusnya mempengaruhi orang sekeliling untuk melakukan perkara yang sama. Apabila kebaikan dan kebahagiaan dinikmati oleh semua ahli masyarakat, kita dapat melahirkan masyarakat penyayang dan mewujudkan ketamadunan manusia yang terbaik.


Untuk mewujudkan masyrakat penyayang, pelbagai langkah perlu dilaksanakan untuk memupuk semangat kejiranan dengan efektif dan efisiem. Langkah melahirkan masyarakat yang penyayang adalah dengan menggalakkan aktiviti kemasyarakatan seperti sukarelawan. Hal ini kerana aktiviti kemasyarakat akan menimbulkan sifat kasih dan sayang dalam diri setiap peserta selain sifat simpati dan empati. Tamsilnya, apabila berlaku bencana alam seperti banjir, masyarakat yang tidak terjejas boleh menyertai sukarelawan untuk membantu mangsa banjir. 


Bantuan seperti membersihkan rumah mereka, memberikan pakaian dan bantuan kewangan akan meringankan bebanan yang ditanggung oleh mangsa banjir. Ibarat peribahasa, berat sama dipikul, rinagn sama dijinjing. Secara tidak langsung, peserta sukarelawan akan berasa bersyukur dengan keberadaan mereka dan keluarga. Tegasnya, menyertai aktiviti kemasyarakatan dapat melahirkan anggota masyarakat yang penyayang 


Pada masa yang sama, semangat kejiranan yang kukuh akan mendatangkan pelbagai manfaat dan secara tidak langsung membantu mewujudkan masyarakat penyayang. Manfaat perdana ialah dapat menjamin keselamatan diri dan ahli masyarakat setempat. Keselamatan adalah perkara yang mustahak dalam menentukan seseorang untuk memilih kawasan kediaman masing-masing. Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, persatuan jiran tetangga boleh ditubuhkan bagi menjalankan tugas keslsematan seperti meronda pada waktu malam. Langkah ini dapat menimbulkan rasa selamat dikalangan penduduk. Kejadian seperti rompakan, ragut dan penculikan dapat dibanteras sekiranya terdapat mata-mata yang mengawasi kawasan perumahan kita. Penjenayah juga tidak berani untuk melakukan jenayah dalam kawasan yang mempunyai semangat kejiranan yang kukuh.  Tambahan pula, ibu dan bapa akan berasa selamat untuk membiarkan anak-anak bermain di taman permainan yang berdekatan kerana ancaman jenayah telah dikurangkan. Izharnya, kesepakatan masyarakat dalam membuat sesuatu perkara boleh meningkatkan tahap keselamatan kawasan sekitar

 

Jika dipandang pada sudut yang berlainan, semangat kejiranan dapat memudahkan penganjuran program atau aktiviti yang berbentuk komuniti. Umum sedia maklum bahawa pihak kerajaan melalui agensinya akan melakukan aktiviti di peringkat komuniti tempatan bagi menyampaikan bantuan dan sebagainya. Seandainya, masyarakat setempat mempunyai semangat kejiranan yang baik, pastinya objektif seperti penyampaian bantuan dapat diberikan kepada mereka yang berhak mendapatkannya. Sesuatu pekerjaan dapat dilaksanakan dengan cepat dan lancar apabila ramai pihak menyumbangkan tenaga bagai aur dengan tebing. Selain itu, kita juga dapat menjimatkan masa yang terluang dengan melakukan aktiviti bermanfaat yang lain seperti menganjurkan majlis rumah terbuka. Intihannya, masayrakat yang memupuk semangat kejiranan dapat melaksanakan sesuatu pekerjaan dengan lebih cekap dan menghasilkan sesuatu yang berfaedah untuk semua dan tidak menimbulkan perasaan tidak berpuas hati kepada orang lain yang menghalang pembentukan masyarakat penyayang. 


Konklusinya, semangat kejiranan berperanan besar dalam mewujud hubungan silaturahim antara penduduk dan sekali gus masyarakat yang penyayang di negara kita. Oleh itu, penduduk komuniti harus meningkatkan  peranan mereka semaksimum mungkin, namun dalam masa yang sama tidak mengamalkan sikap kebencian kepada jiran-jiran atas berbagai-bagai sebab. Apa yang diharapkan oleh semua orang ialah amalan kasih sayang yang berjaya dipraktikkkan  akan mampu mewujudkan masyarakat yang sejahtera. Ingatlah!, individu yang penyayang akan mewujudkan komuniti yang aman dan damai seterusnya melahirkan masyarakat serta bangsa yang terbilang.


Comments